Kita sering merasakan agak sukar untuk mendapatkan pendapatan di dalam berniaga atau sedikit sebanyak sering berasa gelisah hati dan tidak senang.
Dan dengan itu, kita hampir pecah kepala berfikir apakah sebab dan puncanya. Keadaan ini amat menggelisahkan hati dan duduk atau berdiri sama sahaja keadaannya.
Bagi saya, ada satu sebab yang utama selain sebab-sebab lain iaitu kita memegang atau mengambil hak orang tanpa mengembalikan atau memenuhi hak orang tersebut.
Sebagai contohnya:
1. Kita tidak memenuhi hak pembeli dengan sebaik-baiknya atau tidak memenuhi janji yang diberikan. Di situ kita telah berhutang janji dan bermaksud hak pembeli itu tidak kita penuhi.
2. Kita berjanji dengan seseorang untuk sama-sama berusaha dan membahagi keuntungan. Apabila tiba masanya, kita tidak memenuhi janji kita itu. Bermaksud, mereka hanya berpenat lelah membantu kita tetapi kita tidak memberikan hak mereka contohnya upah kepada mereka, atau keuntungan yang patut mereka dapat.
3. Hutang. Saya membahagikan hutang kepada dua jenis iaitu berhutang dengan orang yang tidak begitu kaya dan berhutang dengan orang kaya. Jika kita berhutang dengan kawan-kawan atau saudara-mara yang tidaklah begitu senang sangat hidup mereka, maka anda wajib segerakan membayar semula pinjaman tersebut.
Lain jika anda berhutang dengan si kaya, mungkin anda masih boleh meminta ruang waktu lagi untuk menunda bayaran. Tapi tidak dengan kawan-kawan atau saudara mara yang hidup lebih kurang dengan anda, maka JANGAN ZALIMI mereka jika anda telah mampu membayar mereka walaupun sedikit-sedikit.
4. Zakat. Jika anda telah mencukupi syarat untuk mengeluarkan zakat, maka anda wajib melakukannya. Sucikanlah harta dan pendapatan anda melalui zakat. Ini adalah perintah Allah dan ia wajib dilakukan jika telah cukup syaratnya.
Berapa sangatlah jumlah yang perlu dibayarkan. Allah menjanjikan pulangan dan balasan yang lebih besar bagi mereka yang mengeluarkan zakat atau sadaqah. Jika niat kita ikhlas, Allah akan memberikan rezeki yang berganda-ganda tanpa kita duga.
Kesimpulan
Hidup memegang atau mengambil hak orang secara zalim walaupun tidak berniat zalim adalah satu sikap yang mengundang kesusahan kepada diri sendiri sama ada gelisah hati atau rasa sukar untuk mendapatkan rezeki.
Allah memerintahkan agar kita sentiasa berlaku adil walaupun kita mungkin menghadapi sedikit kesusahan di peringkat awal. Tapi ia lebih baik daripada terus menerus memegang hak orang yang tidak berhak kita memegangnya tanpa rasa bersalah.
Tunaikanlah hak-hak orang jika kita memegang hak-hak mereka. Jangan tangguhkannya. Bertindaklah segera sebelum ajal dan maut menjemput.
Hak Allah jika tidak ditunaikan, kita masih boleh memohon keampunan dan kita mungkin diampunkan sebab Allah itu Maha Penyayang, Pengampun, Maha Kaya, Maha Adil dan Maha Mengetahui.
Tapi jika kita meninggalkan dunia ini dengan membawa hak-hak manusia yang tidak kita penuhi, sudah semestinya ia sedikit sebanyak menyukarkan kita di ‘dunia sana’ kerana kita masih terikat dengan hak-hak orang yang belum kita langsaikan..
Ketahuilah, jika kita tunaikan hak-hak manusia yang WAJIB kita penuhi, ALLAH akan tunaikan juga hak-hak kita. Di antara hak-hak kita itu adalah rezeki, keampunan, kebahagiaan dan kesenangan hidup. Allah akan memberikannya jika kita telah tunaikan hak-hak orang yang wajib kita penuhi.
sumber: kredit to SmartZul
2 comments:
4. zakat... jangan lupa
juga hutang jangan lupa bayar cepat2
Post a Comment