Kaedah pertama: Mengelakkan Kemarahan
1. Menghiasi diri dengan sifat pemaaf
Di dalam al-Quran Allah SWT memuji orang-orang yang menahan kemarahan dan memaafkan orang lain: Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 134 bermaksud: ... Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Sirah Rasulullah SAW, para rasul dan para nabi penuh dengan kisah-kisah kemaafan kepada umat mereka. Walaupun mereka ditentang habis-habisan, dimaki hamun, dicerca dan diancam akan dibunuh, namun mereka tetap memaafkan umat dan berharap umat mereka akan sedar dan menerima hidayah. Sebagai contohnya ialah ketika Rasulullah SAW mengalami luka di muka dan patah giginya di dalam peperangan Uhud, namun baginda menolak cadangan supaya memohon diturunkan bala kepada kaum musyrikin. Sebaliknya baginda berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayah kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak memahami”. Kesabaran dan sifat pemaaf itulah menjadi sumber ketenangan para rasul dan para nabi dalam menghadapi pelbagai ujian dan tribulasi dalam usaha dakwah mereka.
2. Mengelakkan Diri Dari Faktor-faktor Yang Menimbulkan Kemarahan
Kita hendaklah mengenali diri kita terlebih dahulu. Apakah yang kita suka dan apakah yang kita benci. Kita hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang kita benci agar tidak menimbulkan kemarahan. Sebagai contohnya jika kita tidak suka kepada tabiat merokok rakan kita, kita hendaklah menyatakan kepadanya dengan penuh hikmah. Apabila rakan kita memahaminya, dia akan cuba menghindari tabiat buruknya apabila bersama kita.
3. Berdoa
Berdoa merupakan langkah yang amat berkesan untuk mengelakkan diri kita mudah rasa marah. Oleh yang demikian, nabi SAW telah menjelaskan bahawa ’doa itu senjata bagi orang yang beriman’. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:
Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.
Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui Perkara Yang Ghaib dan Nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan Syaitan serta sekutunya. Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.
Di samping itu terdapat banyak lagi doa-doa lain yang boleh diamalkan yang boleh diambil daripada buku-buku doa yang dijual di pasaran.
Kaedah Kedua: Meredakan Kemarahan
Apabila timbul kemarahan dalam diri disebabkan faktor-faktor tertentu, kita hendaklah cuba untuk meredakannya dan mententeramkannya. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk meredakan kemarahan ialah:
1. Mengambil wuduk
Sabda Rasulullah SAW bermaksaud: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Hanya terpadam api itu dengan air. Maka jika kamu merasa marah maka hendaklah kamu berwuduk.
2. Mengubah ke posisi yang lebih rendah
Seseorang yang marah boleh meredakan kemarahannya dengan mengubah posisinya kepada yang lebih rendah. Umpamanya jika dia dalam keadaan berdiri, dia hendaklah duduk, dan jika dia dalam keadaan duduk, dia hendaklah berbaring. Sabda Rasulullah SAW, bermaksud: Jika kamu merasa marah sedangkan kamu sedang berdiri hendaklah kamu duduk, jika kemarahan itu hilang (maka tidak mengapa), jika tidak (juga reda kemarahan itu) maka hendaklah kamu berbaring.
3. Mendiamkan diri
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Jika kamu merasa marah, maka diam (tidak berkata-kata). Mendiamkan diri adalah penawar yang mujarab kepada kemarahan. Ia akan memberi ruang untuk kita berfikir sejenak dan membuat pertimbangan berdasarkan akal bukan emosi. Jika seseorang itu melahirkan kemarahan dalam kata-kata nista ia akan mengundang padah yang lebih parah. Emosi akan menguasai diri, syaitan akan mencelah dan memainkan peranan yang membawa kepada perseteruan yang berpanjangan.
4. Mengucap Isti’azah (A’uzubillah)
Diriwayatkan dalam sahih Bukhari bahawa pada suatu ketika dua lelaki bertengkar di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang yang merah mukanya mencela seorang lagi dengan penuh kemarahan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku akan mengajar kamu satu kalimah yang jika dibacakannya akan hilang kemarahannya, iaitulah bacaan “A’uzu billahi minasy syaitanir rajim”.
Ucapan isti’azah ini hendaklah dilakukan dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah dan memohon bantuannya daripada syaitan dan kuncu-kuncunya. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 200 bermaksud: Jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Sumber http://ustazshauqi.blogspot.com/
3 comments:
kemarahan ni mmg akan memberi kesan tidak baik kalau tak dikawal..
terima kasih perkongsian ni..
berendam dalam air.aa.lega.
minum air zam-zam melegakan jugak
Post a Comment