KEADAAN Mesir masih belum stabil. Rusuhan semakin menjadi-jadi. Mesir kucar-kacir ekoran suasana politik yang tidak kacau-bilau akibat demonstrasi jalanan mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.
Demonstrasi jalanan dilapor berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura.
Nampaknya pergolakan terus berlaku walaupun Presiden Mesir itu mengarahkan perintah berkurung.
Kesan arahan itu turut menyukarkan pelajar dan warga Malaysia yang 'terperangkap' dan menjadi mangsa keadaan dalam kebangkitan rakyat Mesir menentang pemerintahan Mubarak.
Keadaan tegang di negara bergolak itu semakin mencemaskan penuntut dan pelancong yang cuba menyelamatkan diri untuk pulang ke Malaysia.
Mengikut laporan, ramai rakyat kita terperangkap di lapangan terbang Kaherah kerana pesawat EgyptAir masih terkandas.
Bagaimanapun beberapa kerajaan asing sudah dan sedang berusaha membawa pulang rakyat masing-masing dari Mesir. Amerika Syarikat, China, Jepun, Turki, Iraq dan Greece menggerakkan operasi menyelamatkan rakyat masing-masing.
Kita memahami Kerajaan Malaysia juga bimbang akan keselamatan pelajar di sana dan mengharapkan pergolakan yang berlaku di Mesir akan kembali pulih segera.
Kerajaan Malaysia juga tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru. Ada sebabnya!
Kerajaan kita ada pelan kecemasan untuk memindahkan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir keluar dari negara itu.
Sepasukan lima orang yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay kini berada di Kaherah. Mereka akan menilai keadaan semasa di sana serta melihat keperluan memindah lebih 11,300 pelajar serta rakyat Malaysia.
Membawa pulang dalam jumlah yang besar rakyat kita dari Mesir bukan kerja mudah. Keputusan tepat mesti dibuat sama ada pelajar dan rakyat Malaysia perlu dibawa pulang terus ke Malaysia ataupun dipindahkan ke negara jiran berhampiran seperti Arab Saudi dan Libya.
Belum pasti berapa lama demonstrasi dan ketegangan di Mesir itu akan bertahan. Ia bergantung pada soal Mubarak akan berundur atau penganjur demonstrasi terpaksa mengalah.
Sebab itu, Malaysia perlu membuat penilaian tepat.
Pun begitu kita percaya Kerajaan Malaysia akan bertindak membawa pulang pelajar dan rakyat kita di Mesir jika kekacauan di negara itu berterusan sehingga mengancam keselamatan mereka.
Kepada keluarga pelajar dan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir, yakinlah bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dan tidak rela membiarkan mereka cemas.
Jika keadaan menjadi lebih buruk, rakyat Malaysia yang masih terkandas akan segera diselamatkan dengan memindahkan mereka ke negara jiran Mesir.
Itulah langkah paling wajar sebelum keadaan kucar-kacir di Mesir berlarutan dan menjadi kritikal.
Situasi di Mesir adalah di luar jangkaan sesiapa. Jadi usah timbulkan khabar angin dan mempolitikkan keadaan ini. Apa yang patut dilakukan oleh kita ialah berdoa agar Tuhan melindungi keselamatan mereka di Mesir. Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment