KOTA KINABALU 3 Feb. - Dua penerbangan pertama - Malaysia Airlines dan AirAsia - membawa kira-kira 600 pelajar Malaysia yang menunggu untuk dipindahkan dari Kaherah, Mesir, dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi menjelang tengah malam ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pesawat Boeing 747 Malaysia Airlines dan A340 AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal hari ini menuju ke Kaherah.
"Sebaik sahaja kedua-dua pesawat ini tiba di sana, kami akan uruskan penerbangan membawa keluar kumpulan pertama pelajar Malaysia dan kami harap, jika semuanya berjalan lancar, mereka akan tiba di Jeddah menjelang tengah malam ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anifah berkata tiga pesawat pengangkut C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas ke Jeddah semalam, akan memulakan penerbangan membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir pagi esok.
"Ketiga-tiga pesawat ini perlu rehat selama 24 jam sebelum meneruskan aktiviti penerbangan biasa,” katanya. - Bernama
Kumpulan pertama rakyat Malaysia dijangka tiba di Jeddah malam ini
Oleh Veena Rusli
2011/02/03
KOTA KINABALU: Kumpulan pertama kira-kira 600 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir hari ini dijangka tiba di Jeddah malam ini waktu tempatan, susulan langkah kerajaan memindahkan mereka berikutan keadaan yang semakin meruncing di Kaherah.Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pada masa sama, tiga pesawat C-130 dijadual mendarat di Jeddah pada jam 4.45 petang, 5.55 petang dan 7.28 malam ini waktu tempatan.
"Tiga pesawat berkenaan akan melakukan penerbangan ulang-alik antara Jeddah-Kaherah-Iskandariah mulai jam 6 pagi waktu tempatan esok kerana perlu direhatkan selama 24 jam terlebih dulu.
"Di Jeddah, rakyat Malaysia ditempatkan di bangunan milik Tabung Haji dan kita sediakan keperluan asas terutama makanan dan bekalan perubatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, turut berada di Kaherah bagi menyelaraskan operasi penempatan sementara rakyat Malaysia di Jeddah.
Mengulas rasionalisasi pemindahan ke Jeddah, beliau berkata, ia bagi menjimatkan masa penerbangan kerana keutamaan kerajaan ialah memastikan setiap rakyat Malaysia diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air.
"Jika pesawat terus terbang dari Kaherah ke Kuala Lumpur, ia akan mengambil masa sedangkan kita perlu membawa keluar rakyat dalam jumlah yang besar.
"Dalam situasi genting seperti ini, kita perlu berlaku adil kepada semua dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan supaya kita mengekalkan perancangan membawa mereka ke Jeddah," katanya.
Selain itu, katanya, faktor kebenaran menggunakan ruang udara dan mendarat juga perlu diambil kira berikutan banyak negara mengambil langkah mengeluarkan rakyat masing-masing pada masa hampir serentak.
"Ada yang mempersoalkan kononnya kerajaan lambat bertindak sedangkan kita ada prosedur tertentu kerana ini membabitkan aspek keselamatan dalam skop yang luas.
"Kita juga perlu merencana perjalanan dengan teliti berikutan arahan perintah berkurung yang dilaksanakan kerajaan Mesir di semua bandaraya utama negara itu," katanya.
Anifah berkata, kapal KD Bunga Mas 5 juga sudah bergerak dan kini dilapor berada di pelabuhan Ain Shukna sebelum dijadual tiba ke Mesir pada 5 Februari ini bagi membantu urusan membawa keluar rakyat Malaysia.
Beliau menjelaskan, urusan mengeluarkan kira-kira 11,000 warga Malaysia dari Mesir dijangka dapat diselesaikan dalam lima hari.
"Sebaik semuanya disahkan sudah selamat, kita akan uruskan pula untuk membawa mereka kembali ke tanah air," katanya sambil menambah kementerian turut berkongsi maklumat dengan pelbagai agensi bagi mendapat perkembangan terkini krisis di Mesir.
0 comments:
Post a Comment