Trafik jam pada musim perayaan khususnya Hari
Raya Aidilfitri adalah sesuatu yang paling perit untuk ditempuhi oleh
pemandu di Kelantan. Kesesakan merangkumi pemanduan dari luar negeri
menuju ke negeri Kelantan dan juga kesesakan yang terjadi di jalan
antara bandar di Kelantan.
Ruangan kali ini, CutiKelantan akan memberi sedikit
panduan serta jalan alternatif yang melibatkan perjalanan dari
negeri-negeri di Utara, Barat serta Selatan menuju ke Kelantan.
Anda dinasihatkan mengikuti panduan di bawah sebelum memulakan perjalanan.
- Rancang perjalanan dengan baik yang merangkumi masa memulakan perjalanan dan persinggahan berhenti rehat.
- Pastikan kenderaan dalam keadaan baik. Eloklah sentiasa mengisi
minyak petrol penuh bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini.
- Bertolak seawal pagi, diantara jam 12 hingga 4 pagi, di mana waktu ini biasanya kenderaan tidak sebanyak waktu siang.
- Telefon ibu pejabat polis trafik negeri atau Lembaga Lebuhraya
Malaysia (LLM) untuk mengetahui laluan yang ingin dilalui dan trafik
semasa. Tip ini sangat berguna, kerana anda boleh mengelakkan kesesakan
jika mengetahui status terkini trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah atau
LLM. Senarai telefon adalah seperti yang tertera di bawah:
Senarai No. Telefon yang boleh dihubungi untuk maklumat trafik terkini
- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) - 1800887752
- IPD Bentong 09-2222222
- IPD Raub 09-3562003
- IPD Gua Musang 09-9125428
- IPD Kuala Krai 09-9660675
- IPD Jeli 09-9440204
- IPD Kota Bharu 09-7485522
- IPD Tanah Merah 09-9556222
DARI KUALA LUMPUR KE KELANTAN
Perjalanan dari barat semenanjung seperti dari Kuala
Lumpur, Selangor dan Perak yang menuju ke Gua Musang selalunya sesak
teruk di Karak, Bentong dan Raub. Perjalanan yang biasanya 8 jam balik
Kota Bharu, boleh menjadi 16 jam dan begitulah sebaliknya. Laluan ini
adalah paling dekat, tetapi paling kritikal. Mereka yang ingin menuju ke
Gua Musang dan Kuala Krai sesuai menggunakan laluan ini.
A) Dari KL ke Gua Musang melalui Highway Karak, Bentong, Raub, K.Lipis, Gua Musang.
Laluan utama
– Laluan utama dengan melalui Karak, bandar Bentong, bandar Raub terus
ke G.Musang, jarak lebih kurang 456KM dari KL sampai ke Kota Bharu. Jika
memilih laluan ini, kadar kesesakan sememangnya sangat tinggi
terutamanya pada waktu puncak. Dinasihatkan hubungi LLM atau IPD negeri
untuk mengetahui status trafik semasa sebelum memulakan perjalanan.
Laluan Utama dari KL ke Gua Musang – Klik untuk besarkan
Alternatif bypass bandar Bentong
Laluan alternatif ini boleh bypass bandar
Bentong. Selepas tol Bentong, jangan terus exit Bentong Barat,
sebaliknya boleh teruskan perjalanan sehingga melihat papan tanda
“Sertik”, “Kg. Cinta Manis” atau “Mempaga”. Ambil susur keluar ke kiri.
Susur ini adalah sebelum masuk LPT. Selepas masuk susur ini, teruskan
perjalanan melalui Felda Mempaga, Kampung Lebu sehingga sampai ke
simpang keluar ke jalan utama Bentong-Raub.
Alternatif bypass Bandar Bentong – Klik untuk besarkan
Alternatif bypass bandar Bentong dan bandar Raub
Anda juga boleh bypass bandar Raub jika
mengambil laluan alternatif di atas, iaitu ambil simpang ke kanan
selepas melepasi Felda Mempaga. Ada papan tanda jalan alternatif ke Gua
Musang. Jalan ini merentasi Felda Krau, Felda Lembah Klau dan Ulu Gali.
Teruskan perjalanan dengan mengikuti papan tanda yang disediakan
sehingga sampai tiga Sekolah Sains Raub (SEMESTA) dan ambil laluan kanan
untuk terus ke Lipis.
Alternatif bypass Bandar Bentong dan Bandar Raub – Klik untuk besarkan
Alternatif dari Bandar Raub ke Sungai Koyan
Jika sudah memasuki bandar Raub, alternatif lain yang
ada adalah melalui Sungai Koyan. Selepas melepasi Bandar Raub, pilih
laluan kiri melalui Jalan Cheroh dan teruskan perjalanan sehingga sampai
di simpang Sungai Koyan, ambil laluan kanan. Teruskan perjalanan
sehingga sampai di simpang laluan utama di Padang Tengku. Jarak bandar
Raub ke Sungai Koyan adalah lebih kurang 50km.
Bandar Raub ke Sungai Koyan
Peta alternatif bandar Raub – Klik untuk paparan besar
Laluan-laluan alternatif diatas hanya dicadangkan jika
memandu waktu siang hari kecuali jika anda sudah biasa menggunakan
laluan ini, atau memandu secara berkonvoi. Untuk mendapatkan gambaran
lebih lengkap jalan alternatif lain dari Bentong dan Raub ke Gua Musang,
klik di
Sini.
B) Dari KL ke Gua Musang melalui Simpang Pulai, Cameron Highland, Lojing
KL-Simpang Pulai-Lojing-GuaMusang-Kota Bharu = 536km
Laluan ini sesuai bagi mereka yang berada di sekitar
Ipoh, dan juga ingin elak kesesakan waktu puncak di jalan utama
Karak-Bentong-Raub. Bermula dengan melalui PLUS menuju ke Ipoh dan
Simpang Pulai sehingga ke simpang tiga Kg Raja, Cameron Highlands. Jarak
Simpang Pulai ke Kg Raja lebih kurang 57km. Sampai ke Kg Raja, boleh
terus ke Gua Musang melalui Lojing. Laluan ini juga agak tinggi kadar
kesesakan terutamanya selepas perantau pulang bercuti dari Kelantan,
iaitu dari Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur. Ramai yang menggunakan
laluan ini pada waktu tersebut. Kelebihan laluan ini, anda tidak perlu
menempuh kesesakan di Karak. Tetapi, kadar kesesakan tetap ada di laluan
PLUS. Selain jarak perjalanan agak panjang, bayaran tol juga lebih
tinggi. Jika ingin menggunakan laluan ini, dinasihat menghubungi LLM
terlebih dahulu untuk mengetahui status trafik terkini apabila memasuki
lebuhraya PLUS.
Simpang Pulai ke Gua Musang – Klik untuk paparan besar.
C) Dari KL ke Kelantan melalui KARAK, LPT 1 dan LPT Fasa 2
KL-Karak-LPT 1-Bukit Besi-LPT 2-Jertih-K.Bharu = 575km
Laluan ini laluan pilihan yang paling ideal pada musim
hari Raya. Di tambah lagi dengan siapnya lebuhraya LPT Fasa 2 dari Bukit
Besi ke Kuala Terengganu, pemanduan menjadi lebih cepat. Boleh jimat
1-2 jam perjalanan. Laluan ini sesuai bagi mereka yang balik ke Pasir
Putih, Machang atau Tanah Merah.
Dari KL, boleh terus melalui lebuhraya Karak, terus ke LPT ke Gambang sehingga sampai di roundabout selepas tol Jabor. Dari roundabout
tersebut, ambil laluan ke Al Muktafi Billah Shah dan teruskan
perjalanan menuju ke Bukit Besi hingga sampai di simpang tiga. Di
simpang tiga Bukit Besi, belok kanan, jalan terus lebih kurang 1km, anda
boleh masuk ke LPT Fasa 2 dari sebelah kiri. Tidak perlu risau kerana
terdapat papan tanda LPT ke K.Terengganu/Kota Bharu.
Dari lebuhraya LPT tersebut, boleh teruskan perjalanan
sehingga persimpangan K.Terengganu di Kg Gemuruh. Dan bolehlah teruskan
perjalanan ke Jertih melalui jalan utama.
Untuk makluman, laluan LPT Fasa 2 dari persimpangan Ajil
ke persimpangan Telemong dan persimpangan K.Terengganu di Kg Gemuruh
baru sahaja dibuka, dimana pengguna tidak perlu lagi exit di
persimpangan Ajil melalui bandar Kuala Berang hingga ke simpang Sungai
Tong. Manakala lebuhraya LPT Fasa 2 dari Jabor ke Bukit Besi masih belum
siap sepenuhnya.
Jika melalui laluan ini, perlu berhati-hati pada waktu
malam di jalan dari Jabor ke Bukit Besi kerana terdapat haiwan
melintas. Jalan juga sering berlubang terutamanya selepas hujan.
Kuala Lumpur ke Kelantan melalui LPT Fasa 1 dan Fasa 2
Peta
lengkap LPT Fasa 2. Bermula dari Bukit Besi – hingga persimpangan K.
Terengganu. Dari Jabor ke Bukit Besi masih belum siap – Klik untuk
paparan besar
DARI UTARA KE KELANTAN (Lebuhraya Timur Barat)
Dari Utara (Penang, Kedah, Perlis), tiada pilihan selain
3 laluan yang bertemu di simpang 4 Grik iaitu dari Kulim, Baling dan
Lenggong. Kesesakan teruk biasanya berlaku bermula di jalan Gerik-Jeli.
Satu lagi alternatif adalah dengan memasuki Thailand melalui Bukit Kayu
Hitam dan keluar ke Rantau Panjang (hanya yang sudah biasa).
DARI SELATAN (JOHOR/MELAKA) KE KELANTAN
Dari arah selatan seperti Johor, biasanya sedikit
kesesakan akan berlaku di PLUS terutamanya waktu puncak. Bila sampai di
Kuantan (tidak masuk bandar), terus ambil jalan ke Bukit Besi melalui
Muktafi Billah Shah, seterusnya ke LPT Fasa 2, exit ke persimpangan
Kuala Terengganu dan boleh terus ke Machang/Pasir Putih. Laluan
Jabor-Bukit besi jika memandu pada waktu malam perlu berhati-hati,
banyak haiwan melintas, sering berlaku kemalangan dan jalan berlubang
jika waktu hujan.
A) JB – Segamat – Muadzam – Gambang – Jabor – Bukit Besi – LPT 2 – Jertih– Pasir Putih – Kota Bharu = 700km
Laluan ini bermula di lebuhraya PLUS di JB menuju ke Segamat dengan exit di Yong Peng. Terus ke Gambang dan akan melalui Muadzam Shah. Bila sampai di simpang traffic light
Gambang, ambil laluan ke kanan dan teruskan perjalanan dan masuk susur
ke kiri (papan tanda ke UIAM/Kemaman). Teruskan perjalanan sehingga
susur ke Jabor iaitu menuju ke Muktafi Billah Shah dan Bukit Besi, di
situ akan melalui roundabout. Jika tidak, anda akan melalui jalan tepi pantai Cherating, Kemaman hingga ke K. Terengganu.
Di simpang tiga Bukit Besi, belok kanan sehingga 1km,
masuk LPT Fasa 2. Terus sahaja sehingga persimpangan K.Terengganu di Kg.
Gemuruh (tanpa perlu exit persimpangan Ajil atau persimpangan Telemong). Laluan ini sama dengan laluan dari KL ke Kelantan melalui LPT.
Laluan ini sesuai jika perantau di Johor balik ke
Kelantan. Apabila pulang bercuti dari Kelantan ke Johor, dicadangkan
menggunakan laluan Mersing untuk balik ke Johor, di mana kesesakan teruk
biasanya berlaku di lebuhraya PLUS jika melalui jalan Segamat.
Dari dari Selatan (Johor) ke Kelantan melalui Segamat dan LPT Fasa 2 – Klik untuk paparan besar
Persimpangan Gambang ke Jabor melalui jalan pintasan Kuantan – Klik untuk paparan besar
B) JB-Mersing-Pekan-Permatang Badak-Jabor-Muktafi Billah Shah – Bukit Besi – LPT Fasa 2 – Jertih– Pasir Putih.
Laluan ini sama sahaja dengan laluan A di atas, cuma
melalui Mersing. Sangat dicadangkan menggunakan laluan Mersing jika
dalam perjalanan dari Kelantan ke Johor pada cuti perayaan Aidilfitri.
Jika melalui laluan ini, apabila sampai berdekatan dengan Kuantan, ambil
laluan ke Permatang Badak dan boleh terus ke Jabor.
Laluan dari Mersing ke Kuantan – Klik untuk paparan besar
C) JB-Kemaman-K.Terengganu-Pasir Putih
Laluan ini melalui tepi pantai. Sesuai jika tidak biasa di laluan
Jerangau-Jabor. Tetapi, kadar kesesakan agak tinggi kerana ramai
menggunakan laluan ini dan banyak
traffic light. Masa perjalanan juga menjadi panjang.
Laluan tepi Pantai dari Kuantan ke K. Terengganu – Klik untuk paparan besar
Dengan adanya pelbagai jalan alternatif yang boleh
dilalui, diharap dapat membantu anda dalam merancang serta menentukan
jalan mana yang ingin dilalui sesuai denga keadaan semasa.
Selamat balik ke Kelantan kepada anak perantauan dan pandulah kenderaan dengan cermat.
Nota penafian: Segala maklumat dan panduan
yang disampaikan adalah umum. Pihak kami tidak bertanggungjawabdi atas
segala kerosakan, kemalangan atau perkara yang tidak diingini akibat
dari penggunaan panduan yang dipaparkan di web ini. Anda disyorkan
menghubungi pihak berwajib seperti LLM atau IPD negeri untuk mengetahui
jalan dan trafik terkini sebelum memulakan perjalanan.
Sumber:
- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)
- Polis Diraja Malaysia
- Jabatan Kerja Raya Malaysia
- Arraubi.blogspot.com
- myadha.blogspot.com
1 comments:
info yg sgt bguna. memandangkan ak kena drive sndiri buat kali pertama ke kelantan dari KL huhu ak takde pengalaman lagi
Post a Comment